Wednesday, December 29, 2010

Kotak tisu Mr K

Sampul kotak tisu ini adalah untuk Mr K. Sebenarnya ada 6 helai semuanya. Disamping itu Mr K ada memesan sarung kusyen dan beberapa helai sulaman reben yg sesuai untuk di frame. Seorang sahabat zaman remaja ada mempelawa untuk mempamerkan framework dan hasil kraf sulaman reben, di galerinya yg baru dibuka.  Hmm...mungkin ini satu peluang yg baik untuk kraf reben saya....Insyaallah....

Tuesday, December 21, 2010

Bunga reben

Beberapa minggu selepas MAHA 2010, sibuk menjahit baju sekolah anak-anak.  Lebihan reben demo MAHA 2010, yg siap dipotong, dirangkai menjadi gubahan bunga reben untuk anak saudara suamiku yg akan bertunang minggu ini.  Inilah hasilnya, sesuai untuk bunga pahar atau bunga manisan...

Wednesday, December 8, 2010

MAHA 2010 25.11-5.12.2010

 Assalamualaikum!
Lama nian tidak posting, kerana kesibukan. Sempena MAHA 2010.  Saya dijemput LKIM untuk membuat demo sulaman reben. Sambutan memang menggalakkan. Tidak 'cukup tangan' melayani pengunjung, nasib baik ada pembantu muda .....Keletihan, membuat demo dari 10am-10pm, sampai tak sempat hendak berjalan-jalan sekitar ekspo...Letih ; namun menyeronokkan melayani kerenah pengunjung.....







                                                     Rakan-rakan dan staff LKIM
Pembantu saya


Pengunjung yang menyertai demo sulaman reben

TPM

.

Wednesday, November 24, 2010

MAHA 2010

Assalamualaikum!
Lama tidak mencoret laman ini. Bersawang-sawang ruang maya ini. Kesibukan menyiapkan RE (ribbon embroidery) untuk demo MAHA 2010, tidak mengizinkan mencoret ....Saya akan berada di tapak ekspo MAEPS, Serdang dari 26.11 - 5.12.2010 setiap hari untuk demo RE di booth LKIM. Sekiranya teman-teman mengunjungi MAHA 2010, kunjungi saya!..

Wednesday, November 3, 2010

Ulangtahun 21

Ralat rasanya ,sudah lama tidak mencoret laman HHT.  Kesibukan menyiapkan tempahan sulaman reben dan beberapa helai baju kawan-kawan, menyempitkan ruang masa yang ada.
Kucuba juga menyiapkan baju melayu untuk sahabat batin ku, sempena hari ulang tahun perkahwinan kami ke 21.  Sudah begitu lama rupanya kami layari kolek ini bersama.  Hadiah yang tidak seberapa yang disambut dengan senyuman manis seperti waktu mula-mula kami bertemu dahulu.  Dan akhirnya kami hanya mampu mengimbau kenangan bersama suatu waktu dahulu, sehingga kini...21 tahun.  Aku hanya cuba menjadi isteri yang baik, untuk mendapat redha Ilahi, redha suamiku juga. Mudah-mudahan aku mendapat ganjaran sebuah kota di syurga sebanyak bilangan baju suamiku , hasil kerjatangan ku.  Sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w:

‎"sebaik-baik amal wanita adalah mentaati suami dan sesudah itu tidak ada pekerjaan yg afdal bagi wanita selain duduk menenun dan menjahit pakaian untuk suaminya. wanita yg menjahit pakaian untuk suami dan anaknya akan masuk syurga dan akan diberikan Allah sebuah kota di syurga sebanyak bilangan pakaian yg dipakai suami hasil kerjanya." sabda Rasullullah s.a.w. riwayat Salman al-Farisi.


Bersama kucoret kata-kata yang tidak seberapa, kutujukan pada suamiku:

Sahabat batin,
Perahu kecil ini milik kita,
dimana kita tautkan kata-kata mesra
lihatlah ukiran ombak yang menghempas dinding cadas,
dengarlah matahari yang sudah berjanji,
kenanglah pasir putih yang kita tinggalkan,
Kita melangkah perlahan dibelakang pelangi
Ketika kaki langit menyala jingga....


Friday, October 22, 2010

Buah sentul

Assalamualaikum!  Dah lama tidak mengunjungi laman ini, disebabkan kurang sihat.  Cuaca sekarang ni nampaknya panas terik. Jagalah kesihatan, banyakkan minum air dan mandi lebih kerap.  Beberapa hari lepas saya berkesempatan pergi ke Melaka ,menziarahi anak di Kolej Matriks Melaka , Jln Londang, Masjid tanah.  Biasalah...anak nak periksa , beri sokongan moral dan rm.                                                                                 
     Dalam perjalanan pulang, berhenti di tepi jalan sebelum tol Simpang Ampat.  Disitu berjumpalah buah sentul.  Tentu ramai yang tidak mengenalinya sekarang ni, terutama anak-anak.  Harga sekilogram Rm4.  Zaman saya masih kanak-kanak buah ni tak laku pun.  Rupa buah macam duku. Kopek guna pisau kerana kulit lebih tebal dari duku.  Rasa masam-masam manis.  Boleh dimakan segar dan ada yang kata boleh dibuat gulai.  Nanti kalau ada masa saya ingin nak cuba gulai ikan camput buah sentul.  Kalau ada kawan-kawan yang pandai masak gulai ini, sudilah kiranya berkongsi resepi.

Wednesday, October 6, 2010

Kawan siberku

   Ada seorang kawan diruang siber dengan profil menarik, seorang pilot, sealiner.  Memang seronok dapat berkongsi pendapat dengannya.  Maklumlah dia orang yang membelah samuderaraya...Beberapa hari chatting dengannya saya dapat mengagak personaliti beliau.  Dia tak dapat mengenali saya.  Alih-alih dia dah delete saya dari senarai rakannya....Hmmm Bila saya mesej dia dia kata not fair, u cud see me , i cant.  Apalah kawan ni bukankah sepatutnya kita terima sahaja kawan kita seadanya....Mungkin dia rasa saya ni lebih advance dari dia kot ....
       Walau bagaimanapun, kawan saya ni sempat berkongsi satu fenomena, kebesaran Allah yang sempat dia rakam semasa mengemudi kapalnya.  Radar kapal menunjukkan sekelompok awan membentuk nama Allah dan Muhammad.  Menurut katanya fenomena ini dikesan di Sarawak Coast.  Gambar yang diambil kurang jelas tetapi sewaktu dia melihatnya dengan mata kasar memang jelas, menurut katanya.




Imej sebelah atas; Allah, bawah Muhammad.




Video dibawah ini ditujukan untuk PCL,  lagu kegemaran saya, yang kebetulan juga lagu kegemaran beliau ; dalam versi melayu ....



Friday, October 1, 2010

Kena rompak @ kena samun


Semalam, salah seorang jiranku ; seorang ibu tunggal dengan 4 orang anak datang kerumah ku dengan linangan airmata.  Ku tanya mengapa dia menangis? Dia menceritakan bahawa dia telah kehilangan rm3000 , wang pemberian bekas suaminya untuk perbelanjaan persekolahan semester baru tahun depan.  Kasihannya dia.  Dia hanya bekerja sebagai pembantu tukang masak di restoren berdekatan kawasan perumahan kami. Pendapatan dia Rm25 sehari., kalau cuti tiada gaji, menyara 3 orang anak bersekolah dan seorang anak gadis yg baru menamatkan persekolahan.

Rupa-rupanya bebrapa jam sebelum itu, suamiku ada melihat sahabat lelaki yg selalu mengunjungi beliau, masuk kerumahnya.  Sahabat tersebut memang selalu membantu jiranku memperbaiki apa-apa masalah berkaitan rumah mahupun kenderaannya.  Menurut suamiku, sahabat tersebut berada didalam rumah jiranku lebih kurang 15minit. Berderai airmatanya mendengar penjelasan suamiku.  Kami mencadangkan agar dia membuat laporan polis.  Malam tadi suspek mengunjungi jiranku dan membuat penjelasan bahawa dia tidak mengambil wang tersebut.  Dia hanya masuk dan makan kuih diatas meja.  Pihak polis sudah menghubunginya berkaitan kes  dan menyuruhnya ke balai melaporkan diri.

Pagi tadi , ketika sedang bersiap untuk menghantar anak kesekolah, jiranku memanggil sambil menunjukkan segumpal wang kertas berikat getah gelang ditangannya.  "kak, dia pulangkan duit ni...tapi tinggal 2000.  Tak apalah , ada jugak duit buku anak-anak saya".  Subhanallah!  Jiranku menjumpai gumpalan wang tersebut diatas rumput halaman rumahnya.  Ya Allah! Alhamdulillah.  Jiranku ini dikabulkan doanya olehmu malam Jumaat yg mulia ini.  Suamiku bertanya kepadaku, adakah jiranku ini dirompak atau disamun oleh sahabatnya sendiri?  :0....





Cencaru panggang kuali
                                                                                        

Menu sempoi

IKAN PANGGANG DLM KUALI

Dalam sibuk-sibuk al-kisah jiranku, suamiku pulang dari kedai membawa 4 ekor ikan cencaru saiz XL.  Panggang sahaja katanya..  Hmm dah pulul 10.30 am. Nampaknya panggang kuali sahaja lah.  Tumbuk bawang putih,halia campur garam dan rempah gorengan yg di beli dari Terengganu.  Gaul basah pada ikan , balut dengan daun pisang dan panggang dalam kuali.  Pencicah: tumbuk sahaja cili api campur kicap manis , bawang hiris dan air limau kasturi.  Tumis bayam merah campur sedikit lada hitam.  Ok lah tu menu "emergency". Esok pun nak pergi makan kenduri rumah adik ipar, dah tentu makan "berat", hari ini makan "ringan" sahaja.

Melihat ikan bakar ni, teringat masa membela ikan siakap dulu.  Kenduri berkhatan anak lelaki kedua, lauk utama ikan siakap bakar.  Saiz yg dipilih 800gm-1 kg.  Hidangan 1 ekor seorang.  Hmmm....para hadirin terpesona dengan menu....  Ikan diperap menggunakan serai , lengkuas, halia, bawang putih dan merah garam dan serbuk kunyit.  Di perap 2-3 jam sebelum di panggang.  Pencicah ada 3 jenis ; kicap cili padi macam resepi sempoi di atas dan cencaluk nenas.  Nenas yg di parut + cili api + bwg hiris + air limau + belacan bakar + gula dan cencaluk. Perap 2-3 jam.  Air asam jawa seperti biasa + cili + belcan bakar + hirisan bawang.  Emmm...masing-masing tak tahu mana satu nak cicah...Belum lagi makan laksa ikan parang, gulai lemak nangka, kerabu selum, pecal lagi ada....Ketika itu memang mewah lauk ikan ni. Maklumlah tak beli.... Kerabu selum tu pulak...selum tanam sendiri.  Kuah pecal buat sendiri.  Semuanya "home made".  Rajin betul aku masa tu....Apa tidaknya...cik abang sorang tu...semua nak "air tangan isteri".   Tak pandai kena cari ilmu.  Tak tahu kena belajar.  Alhamdulillah....semuanya dihargai....

Inilah tanda kasih sayangnya.  Lagu kegemarannya beserta video sekali.  Ada tag di "fb" nya.. Dengarlah , kalau berkenan di hati...




Monday, September 27, 2010

Apam Tepung Beras

Hamdan Hamidi mmang suka apam tepung beras+kelapa parut.  Oleh kerana dah lama tidak membuatnya, saya cuba-cubalah kemahiran yang dah lama tersimpan...Hmm...hasilnya bolehla tahan dibandingkan yang ada dijual di pasaran .

Resepinya:

Ibu apam:
sepinggan nasi
1/2 biji ragi
campurkan keduanya peram 3 malam

Bahan-bahan :
sebungkus tepung beras cap bunga
1 cawan gula
2 cawan air
1 peket eno warna biru

cara-cara:
Kisar ibu apam @ tapai dengan air. Masuk kedalam tepung beras + gula . Perap 5 jam. Bila nak kukus + eno 1 sdt dalam mangkuk berasingan. Masuk dalam acu dan kukus dengan api kuat.

Thursday, September 23, 2010

Rendang kerang, kari lokan

         14 Syawal berlalu tetapi anak-anakku masih terkenang juadah raya yang tidak dapat kusediakan. Masing-masing ralat...rendang kerang kari lokan.  Manalah nak cari kerang tu...abah dah tak kelaut lagi...siapalah yg nak redah hutan cari lokan tu...?      Dulu masa duduk di tepi Sg Langat Kpg Kelanang tu boleh la...Ketika itu abah dia orang buat "aquaculture", waktu senggang pergi kelaur cari juadah raya.  Kerang yg dicari tu bukanlah saiz yg ada di pasar tu...Besar kerang tu saiz tapak tangan...kalau dah rebus dan kopek kulit...paling kecil saiz duit 50 sen.  Manalah tidak terkenang-kenang rendang tu. Tidak cukup rendang kerang, masak pula mee kari perencah kerang besar. Emmm...mata yg tengok mee kari tu pun besar macam kerang tu...     Lokan pula kalau cari...masak kari pekat.  Kuah kari manis ,tak perlu  MSG. Lepas bersihkan lokan dari lumpur yg melekat, kopek isi dulu.  Macam belah jering.  Segar-segar begitu terus masuk dalam rempah yg sudah ditumis.  Biar pecah minyak barulah letak pati santan.  Kecur air liur.  Manalah nak dapat kerang besar dan lokan tu sekarang. Nostalgia 10 tahun lalu...sekarang kalau nampak lokan yg dijual ditepi jalan menghala pantai Morib, rasa was-was nak beli sebab, tidak pasti dari mana datangnya.   Suamiku menceritakan bahawa lokan hidup membiak dengan cepat dipinggir pantai tempat meternak khinzir...alamak!   Kupandang sahajalah penjual lokan tu....Kerang besar tu pulak khabarnya, susah nak cari sekarang memandangkan tempat pembiakan yg berhampiran pelabuhan Kelang sudah dicemari...semakin pupuslah kerang besar itu...Semuanya tinggal memori sahaja...

Monday, September 13, 2010

DODOL KENTANG

Kuih ni memang jarang orang nak membuatnya. Oleh kerana suami dan anak-anak suka makan maka berusahalah saya cuba membuatnya demi mengekalkan warisan mak mertua saya ini. Bahan-bahannya ringkas sahaja cuma mengacaunya sahaja yg memerlukan kesabaran dan tenaga . 6 jam mengacaunya.          
 
Bahan-bahannya:  
  1. 4 kampit tepung pulut.
  2. 3.5kg gula pasir.
  3. 1.5 kg gula merah
  4. 1.5kg kentang direbus dan dikisar halus
  5. 3 helai daun pandan
  6. 4 kg santan

cara-caranya: gula merah dicairkan bersama 1.5 liter air. Tapis. Masukkan kedalam kuali dan didihkan. Masuk gula pasir, didih hingga gula pekat. Sementara itu, bancuh tepung pulut dan santan didalam mangkuk. Masukkan kisaran kentang. Tapis adunan supaya tidak bergentel. Masukkan kedalam gula yg mendidih pekat.Kacau sentiasa supaya tidak berkerak selam lebih kurang 6 jam.
Salam sejahtera,Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya baru melangkah ke laman ini,ingin berkongsi pendapat dan idea tentang hobi saya. Sulaman reben dan masak memasak. Sempena hari raya ini,adik dan sepupu meminta buatkan balang kuih raya dan sarung kusyen sulaman reben. Inilah hasilnya ....